Oleh: Azhar bin Yahya, Timbalan Pengerusi Ulamak Pelapis PAS (Pusat).
Doa
untuk menghancur dan menjahanamkan UMNO-BN yang disebut di Stadium
Sultan Muhammad IV baru-baru ini adalah bermaksud mengalahkan parti dan
gabungan tersebut dalam pilihanraya umum akan datang.
Dalam arena politik Malaysia, PAS dan
UMNO sekian lama bertanding untuk memenangi hati rakyat bagi mendapatkan
kuasa pemerintahan. Dasar sekular dan nasionalis perkauman yang
diperjuangkan oleh UMNO-BN jelas bertentangan dengan dasar PAS yang
ingin menegakkan Islam yang syumul dan menyeluruh.
Dasar UMNO-BN inilah yang telah membawa
banyak kerosakan dalam masyarakat dan negara. Keruntuhan akhlak, gejala
sosial, pecah amanah, peningkatan jenayah, kehancuran institusi
keluarga, dan lain-lain adalah bahana daripada pemerintahan UMNO-BN
selama ini. UMNO-BN hanya menjadikan Islam sebagai amalan ritual yang
dipenjara dalam institusi, program dan majlis agama, bukan sebagai
rujukan dan dasar dalam pemerintahan.
Justeru, atas sebab inilah PAS berlawan
dengan UMNO-BN dan bertanding dalam pilihanraya untuk mengalahkan parti
dan gabungan tersebut. Ini kerana perjuangan dan dasarnya jauh
bertentangan dan menyimpang daripada Islam yang dibawa oleh Nabi
Junjungan S.A.W.
Untuk mencapai kemenangan dalam
'peperangan' pilihanraya ini, kehancuran pihak lawan adalah sangat
penting. Hancurnya UMNO-BN bukan bermaksud hancur dan binasa individu
yang berada di dalamnya. Hancurnya UMNO-BN ialah parti dan gabungan
tersebut tidak mampu meneruskan survival dan kelangsungan perjuangan
yang berlawanan dengan Islam apabila kalah dalam pilihanraya.
Kehancuran ini adalah agar rakyat
Malaysia tidak lagi berada di bawah pemerintahan UMNO-BN yang telah
menyebabkan kerosakan yang parah kepada negara. Malaysia perlu
diselamatkan daripada pemerintahan yang seumpama ini.
Doa untuk keburukan dan kehinaan untuk
orang lain adalah bukan perkara asing dalam Islam. Dalam satu hadis,
Rasulullah s.a.w. telah menaiki mimbar sambil berkata: "Amin, amin,
amin." Dikatakan kepada baginda: "Wahai Rasulullah! Apa yang kamu buat
ini?" Baginda menjawab: "Jibril a.s. berkata kepada aku, kehinaan kepada
seseorang hamba apabila dia memasuki Ramadhan tidak diampunkan untuknya
dosa. Maka aku berkata amin. Kemudian Jibril berkata, kehinaan kepada
seseorang hamba apabila disebut namamu dia tidak berselawat ke atas mu.
Maka aku berkata amin. Jibril berkata lagi, kehinaan kepada seseorang
hamba yang sempat dengan kedua ibu bapanya atau salah seorang
daripadanya tetapi tidak boleh memasukkannya ke dalam syurga (kerana
tidak berbuat baik kepada mereka) maka aku berkata amin."
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam
Baihaqi. Dalam riwayat yang lain malaikat Jibril mendoakan agar
dibinasakan atau dijauhkan rahmat daripada Allah bagi ketiga-tiga mereka
yang disebutkan di atas.